Berbasikal
adalah satu cara yang murah, selamat dan efektif untuk melangsingkan
tubuh apabila pil-pil diet dan latihan di gim tidak mampu memberikan
kesan yang diharap-harapkan. Selain daripada itu ianya juga dapat
memperbaiki tahap kesihatan diri. Aktiviti ini menyeronokkan dan mampu
mengeratkan ikatan kekeluargaan jika dilaksanakan secara beramai-ramai
bersama keluarga dan sahabat handai.
Ianya juga mampu mengurangkan kos
pengangkutan bagi mereka yang ingin berjimat. Aktiviti ini merupakan
senaman terbaik kerana ia mampu mengeluarkan banyak peluh. Pengeluaran
peluh ini sekali gus membawa keluar segala racun dan toksin yang
terkumpul dalam badan yang akan membuatkan kulit kelihatan lebih berseri
dan awet muda.
Seorang individu seberat 100kg (220 paun) yang
mengayuh basikal untuk ke tempat kerja setiap hari , dipercayai
kalorinya akan terbakar sehingga 1056 dalam tempoh satu jam
perjalanannya. Ini bermakna hanya dengan berbasikal individu tersebut
telah mampu membakar 5280 kalori pada tubuhnya dalam masa 5 hari bekerja
tanpa mengamalkan diet berbahaya.
Berbasikal juga dapat menstabilkan
keseluruhan otot tubuh terutamanya dibahu dan pinggul bagi menghasilkan
postur tubuh menarik seperti yang diidamkan.
1) MENGURANGKAN RISIKO PENYAKIT
Berbasikal
amat baik untuk kesihatan jantung. Ketika berbasikal pengaliran darah
ke jantung akan meningkat. Peningkatan aliran darah membuatkan jantung
memiliki oksigen yang mencukupi dan membantunya untuk berdegup dengan
lebih baik. Keadaan ini secara tidak langsung akan mengurangkan risiko
serangan jantung sehingga 50%. Tidak ketinggalan penyakit tekanan darah
tinggi dan diabetes.
Kajian oleh British Medical Association
mendapati berbasikal amat sesuai untuk diamalkan oleh penghidap
bronchitis dan asma kerana keupayaannya dalam meningkatkan dan
memperbaiki fungsi paru-paru.
Berbasikal di persekitaran terbuka
membuatkan individu terdedah kepada cahaya matahari. Sinaran matahari
kaya dengan vitamin D yang bagus untuk kesihatan hingga mampu mencegah
penyakit osteoporosis, kanser payudara dan kanser prostat. Selain itu,
senaman ini turut meningkatkan pengeluaran sel penyerang bacteria di
samping menguatkan system imun tubuh. Malah masalah insomnia juga dapat
diatasi menerusi senaman berbasikal kerana ia mampu meningkatkan kualiti
tidur individu.
2) MERAWAT ARTRITIS
Berbanding
senaman lain, berbasikal tidak memberikan tekanan kepada sendi atau
tulang rawan. Sebaliknya ia membantu menyihatkan otot dan sendi pada
kaki dengan gerakannya yang berupaya untuk menguatkan tulang rawan.
Keupayaan ini secara tidak langsung dapat membantu merawat dan
mengurangkan risiko serangan arthritis dan pembengkakan sendi.
3) MEMPERBAIKI MOOD
Seperti
senaman lain, berbasikal akan mengeluarkan hormon endorphin sekali gus
mengusir keluar segala perasaan negative terutama stress yang ada dalam
diri. Perembesan keluar endorphin bukan hanya memperbaiki mood dan
mengawal keseimbangan hormone individu bahkan menjadikan mereka lebih
positif dalam menjalani kehidupan.
4) MENURUNKAN KADAR KOLESTEROL
Melibatkan
pergerakan otot-otot paha, lengan dan pinggul membuatkan aktivit
berbasikal efektif dalam menurunkan kadar kolesterol yang terdapat dalam
tubuh. Hanya dengan melakukan senaman berbasikal sebanyak 3 kali
seminggu dan satu jam bagi setiap sesi, paras kolesterol yang tinggi
akan berada di tahap sepatutnya.
5) MENGUATKAN TULANG
Berbasikal
secara rutin membantu menguatkan tulang di bahagian atas anggota badan
dan tulang belakang. Justeru, risiko untuk mengalami patah atau
kecederaan tulang yang lain akan berkurangan. Malah kajian juga
menunjukkan bahawa individu yang aktif berbasikal jarang mengalami patah
tulang pinggul apabila tua. Selain itu berbasikal juga berupaya
menguatkan tulang kaki dan merupakan mobility terbaik untuk pinggul dan
sendi lutut. Kanak-kanak yang sedang mengalami proses tumbesaran amat
digalakkan untuk melakukan senaman yang melibatkan kaki kerana ia bukan
hanya mampu menguatkan kaki malah turut juga berupaya menjadikan mereka
lebih tinggi.
6) MEREHATKAN MINDA
Aktiviti
ini juga berkesan dalam merehatkan minda terutama jika kita berbasikal
pada awal pagi atau lewat malam. Hembusan udara yang segar pada
kedua-dua waktu ini mampu menenangkan fikiran sekaligus mengusir stress
yang sedang dialami. Dalam masa yang sama ia turut meningkatkan kepekaan
dan daya kosentrasi individu.












